PEMBERITAHUAN

Kenyataan Media oleh Perbadanan Infrastruktur Pulau Pinang, bertarikh 7hb Februari 2021

Respons terhadap Pen Mutiara dan Penang Forum

Pihak kami ingin memberikan respons kepada kenyataan-kenyataan dari Pen Mutiara dan Penang Forum mengenai perkembangan terbaru Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR), yang diterbitkan dalam dua laporan akhbar iaitu New Straits Times dan The Vibes pada 5 dan 6 Februari 2021.[1] Perkara-perkara berikut dikumpulkan mengikut kategori berkaitan yang telah dibangkitkan oleh kedua-dua kumpulan tersebut.

Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP)

Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, pihak kami telah mengadakan pertemuan bersama Pen Mutiara pada 23 Oktober 2020 dan membentangkan pakej SIMP yang akan memberikan manfaat kepada para nelayan. Pihak kami telah meminta kepada pihak Pen Mutiara untuk adakan sesi libat urus bersama nelayan dan memberi maklum balas kepada pihak kami semula sekiranya terdapat apa-apa perubahan yang diperlukan.

Setelah mengetahui bahawa Pen Mutiara tidak adakan sesi libat urus, memberitahu, dan mengumpulkan maklum balas daripada nelayan setelah lebih daripada dua bulan, pihak kami telah mengadakan pertemuan semula dengan pihak Pen Mutiara pada 28 Disember 2020 untuk mendapatkan maklumat terkini. Dalam pertemuan itu, Pen Mutiara telah menyatakan bahawa mereka menolak sebarang perbincangan lebih lanjut mengenai SIMP.

Bagi melindungi kebajikan para nelayan, yang mana Pen Mutiara telah gagal untuk adakan sesi libat urus dan menyampaikan pakej yang disediakan, pihak kami telah memutuskan untuk menghubungi nelayan secara terus. Pihak kami telah menerima maklum balas dari dua pusat perkhidmatan nelayan bahawa terdapat banyak nelayan bersetuju dengan pakej SIMP.

Kelestarian PSR

PSR mempunyai kesan yang minimal terhadap aktiviti perikanan kerana projek ini akan menyediakan laluan air bagi nelayan meneruskan aktiviti penangkapan ikan. Kawasan tumpuan penangkapan ikan adalah berada jauh di luar kawasan yang diperuntukkan untuk projek PSR. Adalah sesuatu yang salah untuk mengatakan bahawa penambakan akan menghentikan aktiviti nelayan.

SIMP juga memperuntukan kapal beserta ejin baharu bagi membolehkan nelayan meneruskan pekerjaan mereka. Selain itu, pelbagai rancangan yang berkaitan dengan perikanan juga termasuk dalam SIMP, misalnya jeti baharu dan kemudahan yang lebih baik akan dibina untuk para nelayan. PSR tidak menghentikan aktiviti perikanan seperti tohmahan oleh kedua-dua kumpulan tersebut.

PSR adalah sebuah projek pembangunan lestari yang selaras dengan laporan pakar dan saranan penyesuaian iklim yang dinyatakan dalam ‘Special Report on the Ocean and Cryosphere in A Changing Climate’ dan ‘Special Report on Climate Change and Land’ yang dikeluarkan oleh badan autoriti tertinggi dunia mengenai perubahan iklim, iaitu United Nations Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC).

Oleh kerana PSR telah mendapat kelulusan bersyarat untuk Penilaian Impak Alam Sekitar, maka adalah sah untuk projek itu berjalan jika semua syarat yang dinyatakan dipenuhi. Oleh itu, proses PSR adalah sah dan mengikut undang-undang.

Pihak kami akan terus mengadakan sesi libat urus secara langsung terhadap para nelayan, tanpa melalui orang tengah, untuk memastikan para nelayan mendapat faedah daripada projek PSR.

Manfaat sosioekonomi semasa pandemik Covid-19

Pelaksanaan PSR tepat pada masanya memandangkan keadaan ekonomi yang meruncing akibat pandemik Covid-19. Peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan daripada projek ini, dengan peningkatan pelaburan langsung domestik yang masuk ke negeri ini. Rangsangan ekonomi ini akan dapat memberi rezeki kepada isi rumah yang terkesan untuk mengatasi krisis semasa ini.

Tambahan lagi, penambakan Pulau A, bertujuan mengembangkan Industri 4.0, akan menarik lebih banyak pelaburan ke Pulau Pinang, mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi, dan membawa peningkatan kepada masyarakat tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.

TAMAT

[1] https://www.nst.com.my/amp/news/nation/2021/02/663433/penang-fishermen-association-questions-psr-reclamation-works-launch-date dan https://www.thevibes.com/articles/news/16687/well-do-whatever-it-takes-to-stop-penang-south-reclamation-says-ngo