PENGANGKUTAN AWAM

PENGANGKUTAN AWAM

Rangkaian Pengangkutan Awam

Pelan induk pengangkutan awam kerajaan negeri Pulau Pinang menggariskan rangkaian transit bersepadu dengan kapasiti jangka panjang demi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di Pulau Pinang.

Strategi ini direka khusus seiring dengan penambahbaikan rangkaian jalan dan lebuh raya dalam usaha mencapai kemajuan holistik dan meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya.

Cadangan ini juga mengambil kira keperluan integrasi multimodal yang cekap dan pelaksanaan berperingkat yang fleksibel untuk memaksimumkan kemudahsampaian, kawasan lingkupan dan daya maju ekonomi.

Bagi bahagian pulau, empat laluan dicadangkan:

Laluan / Komponen yang Dicadangkan Jarak (km) Bilangan Stesen
1 LRT Bayan Lepas (BL LRT) (tertakluk kepada kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat) 30 27
2 Laluan Air Itam 13 13
3 Laluan Tg Tokong 7 8
4 Trem (bagi kawasan warisan George Town) 2 6
JUMLAH 52 54

BL LRT, Laluan Air Itam, dan Laluan Tg Tokong akan membentuk ‘tulang belakang’ rangkaian keretapi di bahagian pulau. Piawaian, kualiti dan kapasiti penumpang sistem ini akan lebih baik berbanding dengan trem dan BRT.

Ketiga-tiga koridor transit utama ini – Bayan Lepas, Air Itam dan Tg Tokong – hanya berjarak 3 km di antara satu sama lain. Akses pintu-ke-pintu bagi garisan ini boleh dipertingkatkan lagi dengan menyediakan perkhidmatan bas pengantara yang menghubungkan LRT atau monorel stesen yang berdekatan.

Apabila permintaan perjalanan meningkat dalam jangka masa panjang, Laluan Air Itam boleh dihubungkan dengan BL LRT bagi mengukuhkan lagi integrasi dan hubungan antara landasan-landasan keretapi tersebut.

Dari perspektif perancangan, keutamaan adalah untuk membina BL LRT bagi menyediakan landasan komuter yang pertama di pulau. Ini adalah untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di sepanjang koridor utara-selatan. Skim keretapi BL LRT kini masih dalam pertimbangan agensi persekutuan.

Pendekatan ini adalah agak sama dengan KTMB yang telah memperkenalkan perkhidmatan komuter atas landasan berkembar di Seberang Perai. Penilaian ekonomi BL LRT juga menunjukkan bahawa ia adalah lebih sesuai dilaksanakan berbanding dengan jajaran lain.

Laluan Air Itam dan Tg Tokong, sebaliknya masih kurang sesuai dilaksanakan dari segi ekonomi buat masa ini. Walau bagaimanapun, projek-projek ini boleh diperkenalkan pada masa yang lebih sesuai kelak untuk menyediakan satu rangkaian yang lebih bersepadu demi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Bagi Seberang Prai, tiga laluan transit, termasuk BRT (bus rapid transit), dicadangkan untuk dihubungkan dengan perkhidmatan komuter KTM.

Laluan / Komponen yang Dicadangkan Jarak (km) Bil. Stesen
1 Laluan George Town (The Light) – Butterworth (Penang Sentral) – Sg Nyiur (akan berintegrasi dengan sistem rel di pulau) 18 8
2 Laluan Raja Uda – Sg Nyiur – Bukit Mertajam – Permatang Tinggi 28 21
Lanjutan (BRT) ke Kepala Batas dan Kulim 13 10
3 BRT Permatang Tinggi – Batu Kawan 14 15
Lanjutan ke utara ke Bukit Tengah/Seberang Jaya 15 16
Lanjutan ke selatan ke Nibong Tebal 11 6
JUMLAH 99 76
JUMLAH KESELURUHAN 151 130

Laluan KTM Komuter di Utara Semenanjung menghubungkan Padang Besar di Perlis dan Padang Rengas di Perak, dengan perhentian di stesen-stesen di Seberang Perai, termasuk Butterworth.

Selain perkhidmatan komuter, laluan transit juga dicadangkan untuk kawasan yang dijangka berkepadatan tinggi di Seberang Perai. Pengenalan awal ini adalah untuk menyediakan rizab koridor pengangkutan awam sebagai sebahagian daripada proses perancangan negeri.

Walaupun terdapat beberapa laluan cadangan yang jajarannya selari dengan laluan komuter dengan jarak yang kurang daripada 2km, laluan transit yang baru tersebut itu boleh dibina apabila wujud keperluan di masa depan. Perkhidmatan bas perantara yang menjadi pelengkap kepada perkhidmatan komuter hanya sesuai bagi jangka masa pendek.

Bagi tujuan merancang untuk masa depan dan membolehkan integrasi yang lebih baik, rangkaian transit bagi negeri Pulau Pinang disyorkan untuk dirancang secara menyeluruh dan bukan laluan demi laluan. Walau bagaimanapun, laluan-laluan yang dicadangkan boleh dibina pada masa yang berlainan.

Walaupun tertakluk kepada kajian, penilaian dan pengemaskinian yang berterusan, sistem rangkaian pengangkutan awam yang dicadangkan ini akan memainkan peranan dalam pembangunan masa depan yang berorientasikan transit (transit-oriented developments) dan berfungsi sebagai satu rangka kerja bagi memastikan kemampanan laluan masa hadapan.

Ia juga langkah terbaik dalam mengintegrasikan rangkaian transit dan penggunaan tanah dalam proses penyediaan Rancangan Struktur dan Rancangan Tempatan negeri.

Melalui pendekatan bersepadu, keseluruhan sistem transit akan beroperasi dengan lebih berkesan sebagai satu rangkaian yang menyediakan strategi pengangkutan awam yang cekap dan mapan.

Namun, semua laluan yang dirancang masih tertakluk kepada penilaian kebolehlaksanaan, dan pertimbangan ke atas permintaan perjalanan, intensiti pembangunan, keupayaan sistem transit, sasaran perkongsian mod, penerimaan sosiopolitik sistem transit yang bersesuaian (bertingkat atau di paras atas tanah).

Selain komponen BL LRT, laluan transit lain masih dalam cadangan dan tertakluk kepada semakan pada masa depan dan kelulusan agensi berkaitan.