• INFO KORPORAT
  • Perutusan

Perutusan

YAB. LIM GUAN ENG

DSC 0307

PERUTUSAN YAB LIM GUAN ENG
KETUA MENTERI PULAU PINANG

Kerajaan Negeri sememangnya memandang serius isu kesesakan jalan dan sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang semenjak memerintah negeri ini pada tahun 2008. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah memulakan inisiatif untuk menjalankan kajian menyeluruh berkenaan keadaan semasa sistem pengangkutan dan lalulintas di Pulau Pinang bermula pada bulan Mei 2011 yang dinamakan Kajian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).

Pulau Pinang senantiasa menghadapi cabaran 3C iaitu Crime (Jenayah), Cleanliness (Kebersihan) dan Congestion (Kesesakan). Secara keseluruhannya Kerajaan Negeri telah mengatasi masalah kebersihan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) serta masalah keselamatan dengan peranan polis. Akan tetapi masalah kesesakan trafik kian meruncing apatah lagi dengan kemasukan para pelabur dan pelancong ke negeri ini yang kian meningkat. Negeri Pulau Pinang telah mencatat pelaburan sebanyak RM55 bilion dari tahun 2008-2015 berbanding RM29 bilion sahaja pada tahun 2000 – 2007.

Peningkatan sekali ganda pelaburan ini turut mendorong pertambahan jumlah pelancong luar mahupun dalam negeri yang memilih Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sebagai contoh, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dengan kapasiti 6.5 juta pelancong yang patut dicapai pada tahun 2020 telahpun dicapai pada tahun ini.

Atas sebab itulah, Kerajaan Negeri tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan Kajian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) berasaskan tema Kerajaan Negeri iaitu “Moving People Not Cars”. Kerajaan Negeri terpaksa memulakan langkah ini setelah Kerajaan Persekutuan enggan menunaikan janji yang dibuat sebanyak tiga (3) kali untuk membina sistem LRT.

PIP dengan sistem LRT yang disyorkan di bawah Kerajaan Persekutuan adalah berbeza kerana PIP merangkumi keseluruhan Pulau Pinang di mana ia tidak tertumpu di bahagian Pulau sahaja tetapi merangkumi bahagian Seberang Perai melalui Butterworth, Perai, Seberang Jaya, Bukit Mertajam dan Batu Kawan. Bernilai hampir RM27 bilion, ia bukan sahaja pemangkin pertumbuhan ekonomi tetapi juga wadah perpaduan rakyat kawasan Pulau dan Seberang.

Negeri Pulau Pinang akan melaksanakan tiga (3) projek mega yang mana meliputi pembinaan Light Rail Transit (LRT) bersama-sama Project Delivery Partner (PDP) SRS Consortium Sdn Bhd, Pembinaan Terowong Dasar Laut bersama-sama Zenith BUCG Sdn Bhd dan pembinaan Sky Cab bersama-sama MRCB Berhad. Ketiga-tiga projek ini akan dilaksanakan berlandaskan Prinsip CAT iaitu cekap, akauntabiliti, telus menerusi tender terbuka secara kompetitif.

Pelaksanaan PIP akan membantu Kerajaan Negeri mencapai sasaran penggunaan 40% penggunaan pengangkutan awam di Negeri Pulau Pinang. Pelaksanaan PIP juga akan memastikan setiap pengguna dapat menikmati sistem pengangkutan awam yang mampan dan berkualiti. Sekiranya PIP dapat dilaksanakan dengan jayanya  oleh semua pihak termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Kerajaan dan Awam Darat (SPAD), kemakmuran dan pembangunan ekonomi terjamin untuk masa depan selama 50 tahun.

Marilah kita semua menangani cabaran terbesar untuk melaksanakan sistem pengangkutan awam yang moden yang merangkumi bas, teksi, teksi air/feri, LRT/monorel dan kereta kabel yang boleh menjayakan transformasi Pulau Pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa yang bersih, hijau, sihat dan selamat.

Revolusi Industri Keempat menunggu kita. Dengan PIP dan sistem komunikasi yang baik pasti kita dapat memainkan peranan dalam bidang Big Data Analytics (BDA), Cloud Computing dan Internet of Things (IOT).

Pulau Pinang akan merealisasikan impian anda!

YAB. LIM GUAN ENG

CetakEmel

  • PENANG
  • PEGIS
  • MBPP
  • MPSP

bann1234