Rakan Pelaksana Projek dan Kontraktor

    Rakan Pelaksana Projek

    SRSLogorevised

    SRS Consortium merupakan gabungan usahasama yang dianggotai oleh Gamuda Berhad (60%), Ideal Property Development Sdn Bhd (20%) dan Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd (20%). Ia telah dilantik sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP) untuk projek-projek Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM 27 bilion pada Ogos 2015.

    SRS Consortium mengemukakan cadangan terperinci mengenai pelan pelaksanaan berperingkat melalui hierarki pengangkutan awam yang bermula dengan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Bayan Lepas diikuti dengan laluan-laluan lain di Pulau Pinang dan Seberang Perai.

    Ia bersesuaian dengan tempoh jangka panjang (50 tahun) yang dirangka bagi memastikan sistem pengangkutan dapat mencapai matlamat untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong  Eu melalui pembinaan Lebuh Raya Pan Island Link di Pulau Pinang.

    Selain memberi penyelesaian kepada  masalah lalu lintas di Pulau Pinang, ia juga mampu meningkatkan tahap ekonomi negeri - dengan projek penambakan tanah  yang dirangka bagi pembangunan jangka masa panjang (50 tahun).  Ia akan  dibangunkan sebagai hab komersial baru (Bandar Pintar) di samping mengalihkan tumpuan pembangunan dari kawasan yang penuh sesak di sekitar George Town. Projek-projek ini dibiayai melalui penjualan tanah tebus guna milik Kerajaan Negeri.

    Pelaksanaan rancangan pembangunan untuk tempoh 50 tahun juga kritikal kerana projek-projek yang melibatkan rel umumnya memerlukan kos yang tinggi dan mempunyai lebih daripada 100 tahun jangka hayat operasi.

    Strategi permintaan pengangkutan yang kurang daripada 30 tahun tidak sesuai dipertimbangkan kerana skala, masa dan pelaburan besar diperlukan untuk pembinaan, justeru memastikan pulangan ekonomi adalah setimpal dengan usaha perancangan bagi merealisasikan projek infrastruktur berskala tinggi.

    Dari perspektif pengangkutan awam, cadangan SRS Consortium ini bermatlamat untuk meningkatkan modal perkongsian pengangkutan awam di Pulau Pinang. Oleh yang demikian, cadangan ini adalah untuk mempertingkatkan sistem pengangkutan berkapasiti rendah seperti tram dan BRT dalam strategi pelaksanaan PTMP  (Kajian Halcrow) kepada sistem pengangkutan berkapasiti tinggi “segregated mode”tersendiri untuk menarik orang ramai menukar mod pengangkutan awam yang lebih mudah dan selesa.

    Cadangan SRS Consortium ini juga amat sesuai kerana mengambil kira isu-isu jalan yang sesak dan sempit di Pulau Pinang di mana pembinaan sistem tram dan BRT tidak praktikal. Dari sudut operasi, pembinaan sistem pengangkutan awam di atas paras atas tanah, akan memberi impak kepada:

    1. Pengurangan kelajuan operasi dan  peningkatan masa perjalanan berikutan pertembungan dengan lalu lintas sedia ada;
    2. Pengurangan bilangan lorong lalu lintas (menambah kesesakan trafik); dan
    3. Isu sosial yang ketara.

    Untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, penambahbaikan dan naik taraf jalan dan rangkaian lebuh raya perlu diutamakan.

    Dengan itu, cadangan jalan pintasan yang strategik iaitu Lebuh Raya Pan Island Link akan memenuhi keperluan untuk menyuraikan aliran trafik yang semakin meningkat berikutan pembinaan infrastruktur baru seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang, naik taraf lapangan terbang dan kepesatan kawasan perindustrian. Penambahbaikan persimpangan di Seberang Perai juga dicadangkan untuk memastikan kelancaran perjalanan di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan.




    Cetak Emel

    • PENANG
    • PEGIS
    • MBPP
    • MPSP

    bann1234