• Penang
  • NCR
  • MONORAIL
  • Ayeritam
  • Ferry
  • Skycab2
  • Lrt
  • Pelaksanaan Projek Pelan Induk Pengangkutan mampu mengurangkan kesesakan lalulintas di Pulau Pinang dan memberi keselesaan di masa hadapan

    Ya - 76.9%
    Tidak - 23.1%
  • Pengumuman
  • UCAPAN PENGGULUNGAN PENGERUSI JAWATANKUASA KERAJAAN TEMPATAN, PENGURUSAN LALU LINTAS DAN TEBATAN BANJIR YB CHOW KON YEOW

MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN
NEGERI KETIGA BELAS TAHUN 2016


UCAPAN PENGGULUNGAN PENGERUSI JAWATANKUASA KERAJAAN
TEMPATAN, PENGURUSAN LALU LINTAS DAN TEBATAN BANJIR
YB CHOW KON YEOW


Yang Berhormat Dato' Speaker,
Izinkan saya untuk membuat penggulungan bagi soalan-soalan tambahan yang
telah dikemukakan semasa sesi perbahasan mengikut portfolio yang
dipengerusikan oleh saya.


PELAN INDUK PENGANGKUTAN PULAU PINANG (PIP)
SEJARAH PELAKSANAAN PIP


Yang Berhormat Dato' Speaker,
Kerajaan Negeri memandang serius isu kesesakan lalu lintas dan sistem
pengangkutan awam sejak mula mentadbir negeri Pulau Pinang pada tahun
2008 lagi. Pelbagai usaha dan insiatif telah dimulakan dan sehubungan itu
Kerajaan Negeri melalui MMK pada 27 Mei 2009 dan disahkan pada 3 Jun
2009, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk mewujudkan satu Majlis
Pengangkutan Negeri (Penang Transport Council – PTC) yang terdiri daripada
20 orang wakil-wakil 'expertise' dalam bidang pengangkutan serta wakil-wakil
NGO. Tujuan utama penubuhan PTC ini adalah bagi melihat kepada sistem
pengangkutan awam dan penyuraian masalah kesesakan lalu lintas yang kian
meruncing di Pulau Pinang. Ahli PTC dengan rasminya dilantik oleh YAB Ketua
Menteri pada 10 Julai 2009. Salah satu cadangan utama oleh PTC adalah
melaksanakan Kajian Pelan Induk Pengangkutan di Pulau Pinang.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah memanggil tender terbuka bagi
pelaksanaan kajian PIP pada 12 Mac 2010. Sebanyak enam (6) penender
mengambil bahagian dalam proses ini dan pada 20 Julai 2010 Lembaga
Perolehan Negeri telah bersetuju untuk melantik AJC Planning Consultant Sdn
Bhd (dengan kerjasama Halcrow Consultant Sdn. Bhd. dan Singapore Cruise
Centre Pte.Ltd.) sebagai perunding yang akan menjalankan kajian PIP untuk
Kerajaan Negeri.

AJC Planning Consultant Sdn Bhd telah memulakan kajian secara rasmi pada
bulan Mei 2011 dan kajian tersebut mengambil masa selama 16 bulan yang
dibuat secara holistik dan telah diterima oleh Kerajaan Negeri sebagai dokumen
rasmi pada 25 Mac 2013. Berdasarkan hasil kajian tersebut Kerajaan Negeri
telah memberi penekanan kepada dua (2) komponen utama daripada lima
komponen yang dicadangkan dalam PIP untuk dilaksanakan iaitu komponen
lebuhraya dan pengangkutan awam. Kerajaan Negeri telah mengambil
keputusan untuk melaksanakan PIP secara menyeluruh atau big bang approach
agar segala langkah dan strategi pelaksanaan adalah lebih efektif dengan
menggunakan konsep Rakan Pelaksana Projek (Project Delivery Partner –
PDP).


Kajian PIP yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri merangkumi 5 komponen
utama dan setiap komponen memainkan peranan penting dan saling berkaitan.
Lima komponan tersebut adalah:
1. High way Improvement Plan ( Pelan Tindakan Lebuhraya)
Laporan ini memberi fokus terhadap kesemua rangkaian jalan raya di Pulau
Pinang dan memberi cadangan penyelesaian bagi mengatasi masalah
kesesakan terutama di kawasan hotspot dan semua rangkaian jalan di Pulau
Pinang. Selain itu, cadangan serta merta seperti pelebaran jalan, meletakkan
lampu isyarat di persimpangan utama dan beberapa cadangan lain ada
diberikan oleh pihak perunding. Projek-projek mega yang dicadangkan oleh
perunding ialah:

  1. Georgetown Outer Bypass
  2. North Coast Pair Road
  3. Air Hitam – Relau Pair Road
  4. Third Tunnel Link
  5. North South Expressway Link Road

2. Public Transport Improvement Plan ( Pelan Tindakan Sistem Pengangkutan Awam)
Dalam laporan ini diperincikan mengenai satu sistem yang menyeluruh terhadap
rangkaian sistem pengangkutan awam di seluruh negeri Pulau Pinang.
Kawasan-kawasan bandar akan dijadikan kawasan utama pengangkutan awam
dimana akan dibina jajaran rel mengikut kesesuaian. Kesinambungan kawasan
bandar ini akan disokong oleh rangkaian sistem bas yang meliputi seluruh
kawasan penempatan agar semua rakyat dapat menggunakannya dengan
mudah. Kekerapan bas juga akan dipertingkatkan dan beberapa program Park
n Ride akan diperkenalkan bagi menjadikan sistem pengangkutan awam lebih
efisyen dan menjadi mod pilihan pengangkutan. Sistem feri dan KTM komuter
juga akan diperkemaskan agar keselesaan penumpang adalah terjamin.


3. Accessibility Improvement Plan ( Pelan Tindakan Kebolehcapaian)
Laporan ini tertumpu kepada kebolehcapaian pejalan kaki terutama golongan
OKU di kawasan-kawasan utama di sekitar Pulau Pinang. Garis panduan
Universal Design akan digunakan pakai di dalam pelaksanaan laporan ini.
Penekanan juga diberikan kepada sistem pengangkutan awam di mana akan
meliputi kawasan-kawasan pedalaman yang sebelum ini tidak mempunyai satu
sistem pengangkutan awam yang menyeluruh.


4. Institutional Plan ( Pelan Tindakan Institusi)
Dalam Pelan ini, satu Institusi yang merangkumi semua stakeholders yang
terlibat secara langsung dan tidak langsung berkaitan pengurusan sistem lalu
lintas dan pengangkutan awam perlu diwujudkan. Tujuan utama adalah untuk
memastikan strategi pelaksanaan PIP ini akan dapat disempurnakan secara
tersusun dan efektif. Modal insan yang berkualiti amatlah diperlukan di dalam
institusi ini. Institusi ini akan mempunyai peranan yang besar setelah semua
sistem pengangkutan awam yang lengkap dapat dilaksanakan di Pulau Pinang.
5. Water Transport Study ( Kajian Pengangkutan Air)
Kajian ini meliputi perkhidmatan feri yang sedia ada di Pulau Pinang.
Bagaimana kaedah untuk menaiktaraf dan cadangan untuk mewujudkan lagi
beberapa terminal dan stesen feri bagi menggalakkan lagi sektor pelancongan
dan kebolehcapaian sistem pengangkutan awam. Cadangan stesen feri yang
baru seperti di QueensBay, Weld Quay dan Gurney akan menjadi tarikan bagi
negeri Pulau Pinang.


Yang Berhormat Dato' Speaker,
Untuk makluman sidang dewan yang mulia ini, Kerajaan Negeri sedar akan
magnitude pelaksanaan PIP dan kos yang akan ditanggung oleh Kerajaan
Negeri dalam jangka masa panjang, oleh itu Kerajaan Negeri telah memohon
kepada Kerajaan Pusat agar mempertimbangkan pelaksanaan PIP di Pulau
Pinang. YAB Ketua Menteri telah mengemukakan surat bertarikh 26 November
2013 kepada YB Pemangku Menteri Pengangkutan bagi tujuan ini, namun
demikian tiada maklum balas diterima sehingga sekarang. Sekali lagi YAB
Ketua Menteri telah mengemukakan permohonan kepada YAB Perdana Menteri
melalui surat bertarikh 28 Mei 2014, malangnya pihak Kerajaan Negeri tidak
menerima sebarang maklum balas.
Memandangkan tiada maklum balas daripada Pihak Kerajaan Persekutuan,
Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk meneruskan cadangan pelaksanaan
PIP demi kepentingan rakyat Negeri Pulau Pinang. Satu tender terbuka RFP
telah dipanggil pada 8 Ogos 2014 bagi pelaksanaan PIP ini dan sebanyak 48
buah syarikat telah membeli dokumen tender dan menghadiri taklimat pertama
berkenaan pelaksanaan PIP ini. Sambutan yang diberikan sangat
menggalakkan dan atas permintaan penender-penender, tarikh tutup
penyerahan tender telah dilanjutkan sehingga 16 Februari 2015.
Sebanyak 6 penender telah mengemukakan cadangan RFP masing-masing
pada tarikh tutup tender RFP dan Jawatankuasa Penilaian Kewangan dan
Teknikal yang dipengerusikan oleh YB Pegawai Kewangan Negeri (PKN) telah
ditubuhkan bagi meneliti cadangan setiap penender tersebut. Jawatankuasa
tersebut mula bersidang pada 30 September 2014 dan bagi menjalankan
penilaian aspek kewangan yang telus, pihak Kerajaan Negeri telah melantik
perunding KPMG sebagai External Financial Evaluater bagi membantu
Kerajaan Negeri menilai setiap cadangan secara komprehensif dan cadangan
yang dipilih merupakan cadangan value for money. Setelah melalui pelbagai
proses penilaian dan penelitian selama tiga (3) bulan, Kerajaan Negeri telah
bersetuju untuk melantik SRS Consortium sebagai PDP melalui keputusan
Lembaga Perolehan Negeri bertarikh 9 Julai 2015. Secara rasmi Kerajaan
Negeri mengemukakan pelantikan SRS Consortium dan penyerahan
persetujuan surat pelantikan bersyarat pada 14 Ogos 2015. Kerajaan Negeri
dengan jelas menetapkan kepada PDP yang dilantik bahawa satu perjanjian
hanya akan ditandatangani setelah PDP berjaya memperolehi kelulusankelulusan
wajib daripada agensi kerajaan yang berkenaan contohnya kelulusan
daripada SPAD bagi skim rel, kelulusan DEIA daripada Jabatan Alam Sekitar
dan sebagainya. Semua risiko akan ditanggung sekiranya permohonan tersebut
tidak berjaya. Bertitik tolak daripada pelantikan tersebut, Kerajaan Negeri bersama SRS
Consortium telah bekerjasama ke arah pelaksanaan PIP. Kerajaan Negeri telah
bersetuju untuk melaksanakan PIP yang merangkumi pembinaan satu jajaran
LRT dari George Town ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan
satu lebuhraya Pan Island Link (PIL) serta penambakan laut sebagai model
kewangan membiayai PIP dilaksanakan dalam fasa pertama. Kerja-kerja
pelaksanaan dijangka akan bermula pada penghujung tahun 2017. Anggaran
tempoh pelaksanaan fasa pertama adalah selama 8 tahun. Pada masa kini,
Kerajaan Negeri sedang menjalankan kajian DEIA bagi pelaksanaan LRT dan
juga penambakan laut di kawasan selatan Pulau Pinang. Bagi skim sistem
pengangkutan awam, Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan
kepada pihak SPAD pada 29 Mac 2016 yang lalu untuk pertimbangan kelulusan.
Dijangka kelulusan awalan akan diperolehi pada bulan Julai 2016 dan pameran
awam akan dijalankan disepanjang jajaran LRT selama 3 bulan sebelum
keputusan mutlak dipertimbangkan oleh SPAD.
Buat makluman ahli dewan juga, kajian bagi Pelan Induk Pengangkutan (PIP)
adalah menyeluruh yang mana merangkumi kawasan bandar (metropolitan) dan
juga kawasan luar bandar. Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang
adalah bertujuan mewujudkan satu sistem pengangkutan bersepadu dan
mampan untuk keseluruhan Negeri Pulau Pinang termasuk kawasan luar
bandar. Perubahan ini tidak dapat dilaksanakan dalam sehari dua malah
dengan adanya dasar kerajaan yang memberi penekanan kepada Industri
Automotif di negara kita, cabaran Kerajaan Negeri adalah lebih tinggi bagi
menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang turut memberi perhatian dan tumpuan
kepada alam sekitar dan ekosistem di mana satu sistem pengangkutan yang
lestari telah dicadangkan untuk mewujudkan peralihan daripada penggunaan
kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam.


KOS PROJEK & MODEL PEMBIAYAAN


Yang Berhormat Dato' Speaker,
Seperti yang saya maklumkan, pihak Kerajaan Negeri bersama-sama dengan
PDP masih dalam peringkat perancangan awalan memandangkan Pihak
Kerajaan Negeri telah menetapkan bahawa sebarang perjanjian yang akan
ditandatangani setelah kelulusan wajib diperolehi daripada agensi kerajaan
berkenaan. Malah, pihak Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan
Jawatankuasa Kewangan dan Perundangan yang dipengerusikan oleh YB
Pegawai Kewangan Negeri bersama YB Penasihat Undang-Undang Negeri
serta KPMG (External Financial Evaluater) untuk menilai, meneliti dan
memastikan setiap aspek perjanjian bersama PDP, Kewangan dan
Perundangan dilaksanakan sebaik mungkin.
Buat makluman dewan yang mulia ini, kos keseluruhan bagi pelaksanaan
Pelan Induk Pengangkutan (PIP) adalah berjumlah RM27 bilion seperti yang
dianggarkan dalam Kajian PIP oleh AJC Planning Consultant. Kos sebenar bagi
pelaksanaan PIP hanya akan dimuktamadkan apabila tender Work Package
Contractor (WPC) selesai dilaksanakan. Model pembiayaan PIP ini bergantung
kepada tambakan 3 pulau di bahagian Selatan Pulau, Pulau Pinang. Ingin
saya tegaskan keseluruhan tanah tambakan di ketiga-tiga pulau di Selatan
Pulau Pinang adalah milik penuh Kerajaan Negeri dan hasil tender tanah-tanah
tambakan tersebut akan digunakan bagi membiayai pelaksanaan Pelan Induk
Pengangkutan ini.

Yang Berhormat Dato' Speaker,
Alternatif PIP merupakan cadangan oleh Rakan Pelaksana yang telah diterima
oleh Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perolehan pada 9 Julai 2015. Cadangan
ini telah diterima oleh Kerajaan Negeri setelah mengambil kira kedua-dua aspek
utama yang ditekankan dalam dokumen RFP iaitu aspek teknikal dan
kewangan. Financial model yang dikemukakan oleh Rakan Pelaksana iaitu melalui
tambakan laut dilihat sebagai satu alternatif pembiayaan yang 'viable' dan dapat
dipenuhi oleh Kerajaan Negeri kerana tiada bebanan kewangan yang perlu
ditanggung serta mempunyai risiko yang paling rendah. Sekiranya model
pembiayaan ini berjaya (melalui tambakan laut) maka Kerajaan Negeri
mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan PIP tanpa
perlu menanggung sebarang kos-kos tersembunyi yang lain mahupun
membebankan rakyat untuk menanggung kos operasi perkhidmatan awam
berkenaan. Untuk makluman Yang Berhormat semua, pihak Kerajaan Negeri amat memberi
penekanan kepada perancangan dan pembangunan ketiga-tiga pulau tambakan
berkenaan. Sehubungan itu, satu jawatankuasa Khas Masterplan telah
ditubuhkan yang dipengerusikan oleh YB Dato Seri SUK sendiri dan dianggotai
oleh semua agensi kerajaan teknikal dan semua pejabat tanah. Jawatankuasa
ini kini dalam proses memuktamadkan perancangan yang dijangka dibangunkan
di ketiga-tiga kawasan pulau tersebut yang termasuk peluasan kawasan
lapangan terbang pulau pinang, peluasan kawasan FTZ beserta pembangunan
perumahan mampu milik, komersial dan sebagainya. Masterplan ketiga-tiga
pulau ini akan diintegrasikan bersama RSNPP dan akan dibentangkan dalam
mesyuarat SPC bulan ini dan seterusnya dibawa untuk kelulusan MPFN di
peringkat Kerajaan Persekutuan yang dijadualkan pada bulan November 2016.
Perancangan tambakan pulau ini juga akan memberi fokus kepada pelbagai
kajian di lapangan termasuk kajian perikanan, hidraulik, sosial yang juga
terangkum dalam kajian DEIA yang akan dikemukakan kepada pihak Jabatan
Alam Sekitar. Melihat kepada aspek teknikal pula, jajaran seperti cadangan AJC Planning
Consultant telah dinaik taraf kepada jajaran sistem LRT setelah mengambil kira
alternatif sistem pengangkutan awam yang 'viable' sebagai tulang belakang
(backbone) sistem pengangkutan awam.


SENARAI JAWATANKUASA YANG TELAH DITUBUHKAN KHAS UNTUK PIP


Yang Berhormat Dato' Speaker,
Bagi tujuan memastikan pelaksanaan PIP dapat dilaksanakan sewajarnya,
Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan PIP
yang dipengerusikan oleh saya sendiri. Di bawah jawatankuasa ini, sebanyak
empat (4) jawatankuasa kecil telah ditubuhkan iaitu:

  1.  Jawatankuasa Masterplan yang dipengrusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri
  2. Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh YB Lim Hock Seng
  3. Jawatankuasa Komunikasi Strategik yang dipengerusikan oleh saya sendiri
  4. Jawatankuasa Kewangan dan Perundangan yang dipengerusikan oleh YB Pegawai Kewangan Negeri bersama YB Penasihat Undang-Undang
  5.  Task Force Nelayan
  6. Task Force Hub Pengangkutan

Melalui jawatankuasa-jawatankuasa ini, beberapa siri lab integrasi projek mega
di Pulau Pinang telah dilaksanakan. Jawatankuasa Teknikal telah mengambil
langkah proaktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Kecil Tindakan Kerja
Teknikal yang dipengerusikan secara bersama oleh Pengarah Jabatan Kerja
Raya (JKR) dan Timbalan Pengarah Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau
Pinang (MBPP) untuk melihat kepada setiap aspek teknikal di sepanjang jajaran
Bayan Lepas Light Rail Transit (LRT) dan Pan Island Link 1 (PIL 1).
Melalui Task Force Nelayan pula, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Perikanan dan Unit-unit
Nelayan di kawasan penambakan laut bagi melihat kepada keperluan dan
kebajikan nelayan dijaga. Selain itu, task force hub pengangkutan ditubuhkan
bagi memastikan setiap stesen terutama sekali yang dikenalpasti untuk
dibangunkan sebagai Transit Oriented Development (TOD) dilaksanakan secara
menyeluruh mengambil kira keperluan persekitaran seperti cadangan
pembangunan di Sia Boey. Disamping itu, task force ini juga bertanggungjawab
bagi memastikan transport interchange di kawasan Sia Boey dirancang dengan
sebaik mungkin agar mesra kawasan warisan. Untuk makluman Yang
Berhormat, jajaran LRT mahupun monarel tidak melalui core zon ataupun buffer
zone kawasan warisan. Walau bagaimanapun dalam memastikan stsen
interchange tersebut tidak menjejaskan visual kawasan warisan perancangan
pembangunan stesen tersebut akan berdasarkan fasad warisan.


PELAKSANAAN PIP SECARA BERFASA


Yang Berhormat Dato' Speaker,
Pelaksanaan PIP secara keseluruhannya adalah satu perancangan holistik yang
mengambil masa sehingga tahun 2065. Untuk makluman Yang Berhormat
sekalian, perancangan sesuatu Master Plan terutamanya bagi pengangkutan
awam adalah bagi jangka masa panjang. Dan, masterplan tersebut akan dikaji
semula mengikut kesesuaian pada sesuatu tempoh masa sebelum fasa itu
dilaksanakan. Tempoh pelaksanaan bagi fasa-fasa tersebut adalah:
16
(i) Bayan Lepas LRT (2017-2023)
(ii) Ayer Itam Transit (2025-2029)
(iii) Tanjung Tokong Transit (2026-2030)
(iv) George Town Tram (2025-2028)

Fasa pertama pelaksanaan PIP akan melibatkan pembinaan dua (2) jajaran
utama iaitu Bayan Lepas LRT dan Pan Island Link 1 (PIL 1) sahaja. Pemilihan
kedua-dua jajaran ini adalah kerana Bayan Lepas LRT merupakan tulang
belakang sistem pengangkutan awam rel di Bahagian Pulau.
Manakala pembinaan PIL 1 pula mampu menyuraikan kesesakan lalu lintas dan
berkesan dalam mengurangkan masa perjalanan utara-selatan dari Gurney ke
lapangan terbang kepada 15 minit sahaja, berbanding dengan keadaan trafik
biasa yang memerlukan 45 minit melalui Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
PIL 1 dilengkapi dengan enam persimpangan untuk menghubungkan kawasan
berkepadatan tinggi dan hub pengangkutan di bahagian pulau dari Jambatan
Kedua Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
menuju ke Bayan Baru, Relau, Paya Terubong and George Town.
PIL1 merupakan lebuh raya dua hala enam lorong yang mempunyai akses
terkawal untuk kepastian kelajuan dan masa perjalanan yang lebih lancar.
Jajaran PIL 1 yang melalui kawasan pergunungan juga dapat mengelakkan
kebarangkalian kesesakan daripada pembangunan masa akan datang.
Lebuh raya ini juga akan dibina di luar kawasan pembangunan George Town
demi menyuraikan trafik agar tidak tertumpu ke arah pinggiran pusat bandar.
Selain itu, PIL 1 turut dilengkapi dengan satu laluan khas bas (dedicated bus
lane) sejajar dengan visi Kerajaan Negeri untuk memantapkan jaringan sistem
pengangkutan awam.


Yang Berhormat Dato' Speaker,
Kaedah pembinaan PIL 1 merangkumi pembinaan elevated structure (tiang) dan
tunnel di kawasan berbukit. Tiada aktiviti cut and fill (potong dan tambak)
dijalankan seperti mana kaedah yang biasa digunakan. Ini mengurangkan
impak kepada alam sekitar dan keadaan sekeliling dan tidak akan berlaku
enviromental degradation.
Seterusnya di fasa-fasa yang akan datang, pembinaan jajaran Air Itam Transit,
Tanjung Tokong Transit dan George Town Tram akan bermula pada tahun 2025.
Jajaran Air Itam dan Tanjung Tokong seperti cadangan dalam Alternatif PIP oleh
Rakan Pelaksana adalah sistem monorail. Untuk makluman sidang dewan,
terdapat dua (2) jenis sistem monorail iaitu sistem jenis transit dan taman tema.
Sistem yang dicadangkan di kedua-dua jajaran ini adalah sistem jenis transit
dan bukannya taman tema. Untuk makluman Yang Berhormat semua sistem
monorel yang mempunyai masalah yang tidak dapat diteruskan operasinya
adalah sistem monorel taman tema. Walau bagaimanapun, sebelum fasa
kedua ini dilaksanakan, Kerajaan Negeri sekali lagi akan melaksanakan kajian
lanjut bagi memastikan sistem yang bersesuaian dibina di kedua-dua jajaran ini.


JARINGAN PENGANGKUTAN AWAM YANG BAIK (SEAMLESS TRANSPORTATION)


Yang Berhormat Dato' Speaker,
Kerajaan Negeri melihat Pelaksanaan PIP ini secara holistik sehingga tahun
2055 dengan kemudahan jaringan pengangkutan yang baik (seamless
transportation) memandangkan kos pelaksanaan sesuatu masterplan adalah
sangat tinggi. Sistem transit tidak dilaksanakan sekaligus sebaliknya setiap
sistem transit perlu dirancang dengan baik bagi memenuhi permintaan semasa
di jajaran yang telah ditetapkan. Faktor yang paling penting bukanlah sistem
jaringan pengangkutan awam yang dibina sahaja sebaliknya 'connectivity',
kebolehcapaian dan 'sustainability' yang perlu diberi keutamaan. Samada
sistem transit yang dicadangkan adalah satu sistem sahaja mahupun 4 ke 5
sistem yang berbeza, isu 'connectivity' dan 'sustainability' perlu diberi
penekanan jua.Oleh itu, Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji kebolehlaksanaan integrated
transit fare card system. Pihak Rapid kini dengan kerjasama Kerajaan Negeri
sedang dalam usaha melaksanakan cashless card system sebagai permulaan.
Sistem tiket ini kelak akan diintegrasikan agar dapat digunakan di mana-mana
jaringan pengangkutan awam dengan sistem yang berbeza tanpa mengambil
kira sistem LRT, monorail, tram, bas dan sebagainya.

UNJURAN BILANGAN PENUMPANG (RIDERSHIP)


Yang Berhormat Dato' Speaker,
Berdasarkan unjuran penduduk berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan
Malaysia tahun 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, adalah didapati
bilangan penduduk Negeri Pulau Pinang menjelang tahun 2030 adalah seramai
1,866,300 orang dan menjelang tahun 2040 adalah seramai 1,932,000 orang
(Jabatan Perangkaan Malaysia hanya melakukan bancian setiap 10 tahun dan
bancian seterusnya pada tahun 2020).
Kerajaan Negeri sedia maklum akan perbezaan unjuran penduduk di antara
cadangan kajian Pelan Induk Pengangkutan oleh AJC Planning Consultant dan
Jabatan Statistik Negeri. Sehubungan itu, MMK pada 30 Mac 2016 telah
melantik USM sebagai Peer Review untuk menilai semula cadangan Rakan
Pelaksana Projek (PDP) dengan melihat kajian impak trafik dari aspek teknikal.
Kajian Peer Review ini akan bermula 1 Jun 2016 selama empat (4) bulan.
Jabatan Perangkaan Malaysia membuat unjuran berasaskan data-data
mengikut sejarah sahaja dan tidak mengambil kira keperluan dan aspek yang
lain. Kajian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang mengambil kira kadar
populasi terhadap pembangunan projek masa hadapan, visi Kerajaan Negeri
untuk mencapai kadar penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40%
menjelang tahun 2030 dan mengambil kira keperluan penambahan trafik di
seluruh Pulau Pinang. Ini termasuk kajian trafik di dalam Pulau Pinang itu
sendiri dan pergerakan trafik dari luar yang masuk ke dalam Pulau Pinang.


KENAPA SISTEM LRT DIPILIH (BUKAN SISTEM LAIN CONTOHNYA TRAM)


Yang Berhormat Dato' Speaker,
Transit aliran ringan ataupun Light Rail Transit (LRT) adalah sistem
pengangkutan awam bandar yang menggunakan peralatan pengangkutan,
sama dengan konsep “tram”, tetapi beroperasi di tahap kapasiti yang lebih tinggi
dan eksklusif melalui trek yang dibina tinggi ( elevated ) atau di bawah tanah.
Sistem LRT secara 'elevated' dipilih setelah kajian lanjut Soil Investigation
menunjukkan bahawa sistem transit 'at-grade' dan 'underground' adalah tidak
sesuai berdasarkan kepada struktur tanah di sepanjang jajaran Bayan Lepas
LRT. Sistem transit 'underground' bakal menelan belanja yang lebih besar iaitu
tiga (3) kali ganda berbanding sistem 'elevated'. Sekiranya sistem 'at-grade'
dilaksanakan pula, satu lorong lalu lintas sedia ada perlu ditutup sepenuhnya
sebaliknya sekiranya sistem 'elevated' dibina, jajaran adalah di sepanjang
median jalan ataupun rizab jalan sedia ada dan tiada lorong yang perlu ditutup.
Pembinaan 'at-grade' akan mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk,
pengambilan balik tanah/bangunan yang boleh mengakibatkan kos pembinaan
melonjak berlipat kali ganda, penutupan jalan yang sepenuhnya sehingga
pembinaan selesai dan kos pengalihan utiliti disepanjang jajaran sangat tinggi.
Suka juga saya merujuk kepada statistik transport safety Kerajaan Australia
mendapati kadar kemalangan melibatkan manusia dan kenderaan adalah tinggi
dengan pembinaan LRV 'at- grade'.Contohnya bagi tahun 2015 purata kadar kemalangan kenderaan dan tram bagi
setiap suku tahun adalah purata 200 kemalangan di Australia. Saya
berpendapat berdasarkan sikap pemandu negara kita terutamanya di Pulau
Pinang kadar kemalangan tram dan kenderaan akan sangat tinggi sekiranya
pembinaan jajaran tram 'at -grade' dilaksanakan.
Suka saya menyatakan bahawa pembinaan tram bukanlah murah seperti yang
didakwa oleh sesetengah pihak. Contoh pembinaan Sydney LRV iaitu projek
sepanjang 12 km telah melebihi kos pembinaan asal di mana anggaran kos asal
per km adalah AUD183 juta telah mencecah AUD2 billion melebihi kos asal
sebanyak AUD600 juta. Manakala projek pembinaan tram di Edinburgh di UK
telah ditangguhkan kerana kos pembinaan melebihi kos asal dengan peratusan
sangat tinggi. Namun demikian, Kerajaan Negeri masih akan mengekalkan satu
jajaran tram 'at - grade' di kawasan Warisan George Town bagi tujuan
pelancongan dan juga mobiliti disekitar kawasan warisan.


TAMBANG (FARE BOX)


Yang Berhormat Dato' Speaker,
Seperti Yang Berhormat sekalian sedia maklum, tiada negara yang
melaksanakan sistem pengangkutan awam dan mengaut keuntungan yang
lumayan ataupun berlipat kali ganda daripada kutipan tambang walaupun had
penggunaan pengangkutan awam adalah tinggi seperti di Hong Kong mahupun
Singapura . Namun demikian, negara-negara ini masih tetap terus
meningkatkan jaringan pengangkutan awam demi kesejahteraan dan keperluan
rakyat.
Tambang pengangkutan awam tidak boleh ditetapkan sewenang-wenangnya
oleh Kerajaan Negeri sebaliknya hanya SPAD sahaja yang akan menetapkan
kadar kutipan tambang tersebut. Berdasarkan kajian, kutipan tambang hanya
dapat menampung 10% sehingga 15% daripada keseluruhan kos operasi dan
senggara sistem pengangkutan tersebut. Oleh itu, Kerajaan Negeri masih dalam
peringkat awalan untuk memuktamadkan 'business model' yang paling ideal
bagi memastikan sistem pengangkutan awam yang bakal beroperasi ini adalah
'self-sustainable' tanpa membebankan Kerajaan Negeri dan rakyat Pulau
Pinang.


SESI PENGLIBATAN AWAM DAN INISIATIF KERAJAAN NEGERI


Yang Berhormat Dato' Speaker,
Sehingga kini sebanyak 18 sesi penglibatan awam telah dilaksanakan oleh
Kerajaan Negeri yang melibatkan seramai 2000 orang. Sesi ini melibatkan
rakyat Pulau Pinang yang terdiri daripada pelbagai peringkat latar belakang dan
kepentingan. Malah, usaha 'bottom up' approach ini merupakan inisiatif
Kerajaan Negeri untuk lebih terbuka dan melibatkan orang ramai terlebih dahulu
daripada pelbagai peringkat sebelum projek mega seperti ini dilaksanakan.
Untuk makluman sidang dewan, syarat wajib bagi tujuan kelulusan oleh S.P.A.D
adalah pemeriksaan awam (public inspection) yang perlu dilaksanakan selama
tiga (3) bulan mengikut Seksyen 84 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Inisiatif sesi penglibatan awam yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri ini
bukanlah satu keperluan untuk kelulusan oleh Kerajaan Persekutuan atau SPAD
tetapi Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif ini bagi memastikan jajaran yang
dimuktamadkan adalah jajaran yang paling viable untuk rakyat Pulau Pinang.
Jajaran Bayan Lepas LRT telah diubah sebanyak empat (4) kali sejak cadangan
jajaran tersebut dibentangkan oleh PDP kepada Kerajaan Negeri sejak bulan
Disember 2015. Perubahan jajaran ini adalah berdasarkan maklum balas,
pendapat dan cadangan yang diperolehi daripada pelbagai pihak daripada 18
sesi penglibatan awam yang telah diadakan.
Malah Kerajaan Negeri juga telah melancarkan Laman Sesawang Rasmi
Pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) pada 1 April 2016 bagi
memastikan rakyat mempunyai pelbagai saluran untuk menyampaikan
pendapat dan maklum balas mereka. Kerajaan Negeri juga telah memuatnaik
jajaran TMP beserta perancangan projek untuk makluman orang ramai
menerrusi laman web ini. Sehingga kini sebanyak 250 maklum balas telah
diterima melalui laman sesawang rasmi Pelaksanaan PIP. Ini membuktikan
Kerajaan Negeri betul-betul ikhlas dan sentiasa telus dalam berkongsi maklumat
demi masa depan rakyat Pulau Pinang.


PENUTUP


Yang Berhormat Dato' Speaker,
Untuk menjadi sebuah negeri yang mampan dan bertaraf antarabangsa, Negeri
Pulau Pinang amat memerlukan satu rangkaian dan sistem pengangkutan yang
berintegrasi serta lengkap untuk memastikan 'efficient mobility' dan 'accessible'.
Sehubungan itu, Pelan Induk Pengangkutan ini adalah amat penting bagi
menjamin kesejahhteraan rakyat Pulau Pinang.
(Sesalinan maklumat Pelan Induk Pengangkutan beserta cadangan guna tanah
bagi ketiga-tiga pulau tambakan akan diedarkan kepada Yang Berhormat
sebentar lagi)
Saya akhiri ucapan penggulungan saya ini dengan menegaskan bahawa
pelaksanaan PIP penting untuk menepati visi dan misi Kerajaan Negeri iaitu


'Moving People Not Car'
Sekian, terima kasih.

  • PENANG
  • PEGIS
  • MBPP
  • MPSP

bann1234